Rasulullah SAW Tidak Tiru Yahudi Dalam Berpuasa Hari Asyura


 

Rasulullah SAW Tidak Tiru Yahudi Dalam Berpuasa Hari Asyura


1. Terdapat kesilapan dalam memahami puasa Hari Asyura di mana ada yang anggap Baginda SAW berpuasa Hari Asyura selepas mengetahui Yahudi di Madinah berpuasa pada hari tersebut. Ia berdasarkan hadith dari Ibn Abbas tersebut :

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: مَا هَذَا ؟ قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ: فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ، فَصَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya :
Nabi SAW tiba di Madinah dan melihat Yahudi berpuasa pada Hari Asyura. Maka Baginda bertanya : hari apa ini (yang kamu berpuasa)? Yahudi menjawabv: ini kami yang baik. Hari ini Allah selamatkan Bani Israil dari musuh mereka (Firaun) maka Nabi Musa berpuasa. Lantas sabda Rasululllah : Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu, maka Rasulullah SAW berpuasa dan mengarahkan sahabat berpuasa." - riwayat al-Bukhari

2. Sedangkan Rasulullah SAW telah pun berpuasa Hari Asyura sebelum Hijrah lagi. Maknanya, Baginda telah pun berpuasa sebelum tahu Yahudi di Madinah berpuasa pada Hari Asyura. Ini jelas berdasarkan riwayat Sayidatina Aisyah bahawa :

كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ

Maksudnya : Adalah hati asyura (10 Muharram) orang-orang Quraisy pada zaman jahilliyah berpuasa, dan Nabi SAW juga berpuasa (hari tersebut) - riwayat al-Bukhari

3. Dikuatkan lagi dengan riwayat dari Ibn Umar bahawa memang puasa Rasulullah SAW berpuasa bersama umat Islam, dan tidak tinggalkan, sehinggalah turun pensyariatan puasa fardhu di bulan Ramadan, maka status puasa Hari Asyura menjadi pilihan sama ada nak puasa boleh, nak tinggal iaitu tidak mahu berpuasa pun tidaklah salah.

Riwayat dari Ibn Umar :

: أَنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ كَانُوا يَصُومُونَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَهُ وَالْمُسْلِمُونَ قَبْلَ أَنْ يُفْتَرَضَ رَمَضَانُ فَلَمَّا افْتُرِضَ رَمَضَانُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( إِنَّ عَاشُورَاءَ يَوْمٌ مِنْ أَيَّامِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ )

Maksudnya : Masyarakat jahiliyyah mereka berpuasa pada Hari Asyura dan sesungguhnya Rasulullah SAW serta kaum muslimin berpuasa sebelum difardhukan puasa di bulan Ramadan. Tatkala telah difardhukan berpuasa di bulan Ramadan maka sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Asyura merupakan satu hari dari hari-hari Allah. Maka sesiapa yang mahu berpuasalah, dan sesiapa mahu tinggalkan (tidak berpuasa) - riwayat al-Bukhari dan Muslim

4. Adapun pada hadith yang Rasulullah SAW tanya pada Yahudi akan puasa mereka dan kemudian mengarahkan sahabat berpuasa bukan bermaksud Baginda SAW baru kenal puasa Hari Asyura selepas bertanya Yahudi sebab jelas 2 hadith dari Sayidatina Aisyah dan Ibn Umar mengenai puasa Rasulullah SAW sebelum Hijrah lagi. Hadith dari Ibn Abbas tersebut menunjukkan penegasan Rasulullah SAW :

i. Hak Islam ke atas Nabi Musa berbanding dakwaan Yahudi sedang mereka menyeleweng dari seruan Nabi Musa.
ii. Penegasan Rasulullah SAW untuk jadikan puasa tersebut wajib bagi menunjukkan kelayakan umat Islam ke atas Musa, dan ia diwajibkan sehinggalah turun pensyariatan puasa fardhu bulan Ramadan.

5. Malah dalam perkara kebaikan yang berbetulan sama antara pengamalan Islam dan ahli Kitab pada perkara yang tidak ditegah maka ia tiada masalah. Sebab itu, puasa Hari Asyura sekalipun berbetulan hari tersebut merupakan hari Yahudi berpuasa, maka ia belum dilarang sekali berbetulan untuk sama. Sebagaimana yang yang berlaku pada pertanyaan Rasulullah SAW kepada Yahudi tersebut, maka Yahudi berpuasa kerana pada kalendar mereka ialah 10 Tishri, iaitu kiraan dalam salah satu bulan dalam Kalender Ibrani yang diamalkan. Mereka bukan guna kalendar bulan Arab.

Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan :

فلم يصمْه – صلى الله عليه وسلم - اقتداء بهم – أي : باليهود - ؛ فإنه كان يصومه قبل ذلك ، وكان ذلك في الوقت الذي يحب فيه موافقة أهل الكتاب فيما لم ينه عنه . ْ

Maksudnya : Rasulullah SAW tidak berpuasa mengikut Yahudi, bahkan Baginda berpuasa sebelum dari itu lagi. Dan waktu tersebut lebih disukai pada bersama dengan apa yang dibuat Ahli Kitab pada perkara yang tidak ditegah.

6. Selepas pembukaan Mekah, maka ketika itu Rasulullah SAW lebih suka pada perkara yang tidak lagi bersama dengan apa yang dibuat oleh Ahli Kitab. Maka inilah hadith yang menyatakan jika Baginda SAW hidup pada tahun berikutnya, Baginda SAW akan tambah berpuasa sehari sebelum 10 Muharram.

Ibn Hajar al-Asqalani berkata :

فَلَمَّا فُتِحَتْ مَكَّة وَاشْتُهِرَ أَمْر الْإِسْلَام أَحَبَّ مُخَالَفَةَ أَهْلِ الْكِتَابِ أَيْضًا

Maksudnya : Tatkala berlaku pembukaan Mekah dan telah terzahir akan Islam maka lebih disukai (Rasulullah SAW) untuk tidak menyamai apa apa dengan Ahli Kitab.

7. Para ulama memahami yang dimaksudnya bukan sekadar 9 Muharram tetapi bezakan bilangan hari berpuasa sama ada tambahan sehari sebelum atau selepas. Malah jika berpuasa 9, 10, 11 Muharram pun tiada masalah dan disebutkan ialah afdhaliyat tertinggi oleh Ibn Jauzi.

8. Malah jika puasa tunggal pada 10 Muharram sahaja pun majoriti ulama kata harus dan sepakat ulama mendapat ganjaran puasa Hari Asyura iaitu diampunkan dosa setahun sebelum. Malah tidak menjadikan ia makruh atas alasan menyamai bilangan hari Yahudi berpuasa. Ini kerana cara berpuasa malah tempoh masa berpuasa Yahudi tidak sebagaimana kaedah puasa umat Islam. Orang-orang Yahudi memulakan puasa mereka kira-kira seperempat jam sebelum matahari terbenam sehingga kira-kira seperempat jam selepas matahari terbenam pada hari berikutnya. Ia tidak melebihi dua puluh lima jam berturut-turut

9. Ini kerana sekalipun satu hari sahaja ia tetap tidak dikira menyamai Yahudi kerana Hari Asyura sendiri dimaklumi sebelum bertemu Yahudi. Dan cara puasa Yahudi langsung tidak sama dengan cara puasa orang Islam.

صيام يوم عاشوراء عند اليهود يبدأ قبل غروب الشمس بنحو ربع ساعة إلى ما بعد غروب الشمس في اليوم التالي بنحو ربع ساعة، فهو لا يزيد بحال عن خمس وعشرين ساعة متتالية، وهو عاشوراء اليهود، وما زال فيهم حتى اليوم.

Maksudnya :
Puasa pada hari Asyura menurut orang Yahudi bermula kira-kira seperempat jam sebelum matahari terbenam sehingga selepas terbenam matahari keesokan harinya kira-kira seperempat jam.

10. Justeru, jangan salah anggap yang kita berpuasa setelah tahu Yahudi berpuasa. Ini silap yang perlu diperbetulkan.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments