Mewahabikan Orang (Tawhib / توهيب)
1. Isu yang bosan untuk dibaca dalam setiap isu berkaitan perbezaan pendapat dalam hal agama ialah sikap pengikut fanatik yang suka mewahabikan orang sekalipun orang tersebut bukan Wahabi.
2. Cara mudah untuk nampak diri berada pada kebenaran ialah mewahabikan orang yang tidak sependapat dengannya. Ia sama juga dengan pembunuhan karakter. Jika dalam dunia antarabangsa, label terrorisme dipikulkan ke atas Islam dengan tujuan untuk mematikan watak muslim agar orang lari dari Islam.
3. Perbezaan pendapat dalam sesuatu isu sepatutnya diurus dengan dialog dan muazakarah berhujah antara satu sama lain. Bukan terus melabelkan seseorang yang berbeza pendapat dengannya sebagai wahabi padahal orang tersebut bukanlah wahabi. Malah jika orang tersebut memang berpegang dengan aliran wahabi, maka bermuzakarah atau berdebatlah dengan hujah-hujah, kerana kebenaran atas hujah bukan perlabelan.
4. Islam tertegak dengan hujah. Ini kekuatan Islam. Jika berhujah dengan orang kafir pun kita perlu menang dengan memberikan hujah, bukan dengan sentimen emosi serta perlabelan.
5. Jika mewahabikan orang itu adalah reaksi terhadap orang wahabi yang suka membidaahkan amalan secara semberono, maka apa beza keduanya? Orang yang benar mengaji agama dan memahami tuntutan beragama tidak sedemikian iaitu bermudah membidaahkan amalan semberono dan mewahabikan orang secara membuta tuli.
6. Jika benar orang itu beraliran wahabi, memang saya tidak bersetuju dengan orang tersebut kerana manhaj dalam memahami dalil berbeza. Begitu juga saya tidak bersetuju jika bermudah-mudah mewahabikan orang kerana beza pendapat. Ini semua perangai PBNU ( Penceramah Baru Nak Up) yang suka tawhib iaitu mewahabikan orang secara semberono.
7. Masyarakat tidak akan jadi pandai dengan ucapan "mewahabikan orang" dalam pengajaran dan majlis kita. Tetapi jika kita memang mahu followers yang jahil, teruskan sebar label mewahabikan orang kepada sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan kita. Sikit-sikit wahabi.
8. Memang benar jauhi aliran wahabi yang tidak sesuai di tempat kita. Dalam masa yang sama jauhi gerakan tawhib, gerakan mewahabikan orang atas semata-mata berbeza pendapat. Dua-dua membawa ketidak harmonian dalam masyarakat umat Islam.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment