Menulis dan Berdakwah Tiada Istilah Pencen
Membaca pendahuluan kitab Idaman Penuntut karangan Hj Abdul Ghani memberikan pengajaran yang besar di mana penulisan ini dibuat selepas 15 tahun waktu bersara dari penjawat awam iaitu tahun 1967 bersara.
Walaupun sejak awal lagi diminta untuk menulis mengenai pengajian ilmu fiqh ni namun atas kekangan masa kesibukan tidak berkesempatan dalam menulis. Malah selepas bersara 15 tahun kemudiannya masih ada lagi permintaan maka beliau pun menulis, jika ketika itu umur beliau sekitar 70 tahun (bersara umur 55 tahun + 15 tahun lepas pencen). Pemangkin menulis disandar kepada :
1. Firman Allah mengenai kepentingan menyampaikan ilmu dan mengajar.
2. Hadith Rasulullah mengenai terputus amalan selepas meninggal melainkan 3 perkara (salah satunya ilmu bermanfaat)
Beliau bertabaruk dengan kebesaran hari Maulid Rasul dengan memulakan penulisan pada 12 Rabiul Awal tahun 1403 bersamaan bulan September 1982. Dan berjaya menyiapkan penulisan pada 6 April 1983.
Jelas, perjuangan menyampaikan ilmu, berdakwah dan mendidik tiada istilah "pencen". Sekalipun usia mencecah 70 tahun beliau dapat menyiapkan buku berjilid ini dengan keadaan alat penulisan ketika itu bukan semudah di zaman ini.
Di akhir pendahuluan, beliau dengan tawadhuk dan rendah diri menyatakan jika ada kesilapan atau perkara salah yang perlu diperbaiki boleh maklumkan kepada beliau atau diutuskan surat, malah beliau turut memberikan alamat rumah beliau di Johor jika ada yang hendak bertemu untuk menegur dan memperbetulkan kesilapan jika ada yang beliau lakukan tersebut!
Kesungguhan dalam menulis di usia 70 tahun bukan mudah namun ia menjadi saksi bahawa inilah dia pendidik, pendakwah, orang yang membawa risalah Islam, tiada istilah pencen atau bersara. Sekalipun bersara dari kerja berjawatan namun urusan agama adalah terus sehingga ke akhir usia.
Moga Allah menempatkan Hj Abdul Ghani di kalangan para salihin dalam syurga.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment