Hijrah - Gua Thur Saksi Cinta Sayiduna Abu Bakr kepada Rasulullah SAW Bukan Sekadar Kata-kata
1. Sewaktu peristiwa Hijrah Rasul, Rasulullah SAW yang ditemani oleh Sayiduna Abu Bakr bersembunyi dalam Gua Thur selama 3 hari. Strategi bagi menghilangkan jejak kesan dari ekori oleh musyrikin Mekah yang memburu mereka.
2. Sewaktu dalam Gua Thur pengajaran sangat besar ialah bagaimana tahap keimanan Sayiduna Abu Bakr yang diiktiraf Rasulullah SAW mengatasi tahap orang beriman yang lain.
3. Teladan dari Sayiduna Abu Bakr ialah mendahulukan segala Rasulullah SAW. Malah ketika sampai di Gua Thur, beliau memasuki dahulu Gua Thur bagi memastikan keadaan selamat untuk dimasuki dan didiami oleh Baginda SAW.
4. Malah ketika musuh musyrikin sampai di Gua Thur, beliau melahirkan kebimbangan sekiranya musuh musyrikin terlihat mereka. Kebimbangan beliau bukan kerana dirinya namun kerana bimbang akan keselamatan Rasulullah SAW. Sehinggakan Rasulullah SAW menenangkan beliau dengan bersabda :
يا أبا بكر ما ظنك باثنين الله ثالثهما
Maksudnya :
Wahai Abu Bakr, jangan kamu sangka kita berdua, Allah yang ketiga (bersama kita) - riwayat al-Bukhari dan Muslim
5. Malah peristiwa di Gua Thur ini menjadi saksi bahawa Allah mengiktiraf kedudukan Sayiduna Abu Bakr sebagai sahabat Rasulullah SAW secara zahir. Ini menunjukkan keagungan kedudukan Sayiduna di sisi Allah dan Rasul-NYA. Firman Allah SWT :
{ إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ثَانِیَ ٱثۡنَیۡنِ إِذۡ هُمَا فِی ٱلۡغَارِ إِذۡ یَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِینَتَهُۥ عَلَیۡهِ وَأَیَّدَهُۥ بِجُنُودࣲ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِیَ ٱلۡعُلۡیَاۗ وَٱللَّهُ عَزِیزٌ حَكِیمٌ }
Maksudnya :
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Surah At-Tawbah: 40]
6. Inilah beza kecintaan Sayiduna Abu Bakr dengan kita. Beliau menaruhkan seluruh jiwa dan raga sehingga sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan Rasulullah SAW. Malah dari awal lagi beliau memang mengharapkan bersama dengan Rasulullah SAW untuk berhijrah walaupun para sahabat telah memulakan hijrah lebih awal.
7. Walaupun dalam ayat 40 surah al-Taubah tidak menyebut nama beliau secara zahir namun Allah menonjolkan sifat yang ada pada beliau iaitu صاحب iaitu sahabat, bersuhbah, yang sentiasa berdampingan dengan Rasulullah SAW. Ini sifat mulia.
8. Sayiduna Abu Bakr juga menggunakan sepenuh kelebihan yang ada untuk memastikan Hijrah Rasul berjaya sepenuhnya dengan memastikan :
i. Anaknya Abdullah menjadi orang yang meninjau keadaan pagi di Mekah dan malamnya menyampaikan berita semasa ke Gua Thur.
ii. Pekerjanya yang mengembala biri iaitu Amir Fuhairah yang membawa biri menutupi jejak langkah Abdullah kemudian susu biri di bawa ke Gua Thur.
iii. Aisyah dan Asma anak perempuan Abu Bakr menyediakan makanan untuk dihantar ke Baginda SAW dan beliau sepanjang di Gua Thur.
9. Perjuangan Sayiduna Abu Bakr meletakkan segala kepentingan Rasulullah SAW adalah yang utama, pertama dan mendahului segala yang lain.
10. Beliau tidak sekadar berkata-kata tapi membuktikan dengan tindakan.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment