Ustaz, Adat & Tanggungjawab

 



Ustaz, Adat & Tanggungjawab


1. Panggilan "ustaz" pada adat kita diberikan kepada mereka yang berlatar belakang pengajian agama sama ada yang mengikuti formal pendidikan di institusi akademik atau aliran pondok.

2. Panggilan "ustaz" juga dipakejkan bersekali selain latar belakang pengajian agama ialah watak peribadi yang baik sama ada terzahir menerusi penampilan pakaian zahir yang merujuk kepada "penampilan layak bagi ustaz" seperti kopiah, berjubah dll.

3. Ini adalah adat secara umum panggilan ini diberikan oleh masyarakat kita sebagai suatu bentuk penghormatan. Jika tersasul bukan pada individu ustaz namun dianggap doa kerana penampilan baik yang terzahir.

4. Adalah penggunaan perkataan ustaz berbeza pada penggunaannya berdasarkan adat yang berbeza. Di sisi orang Arab contoh di institusi pendidikan negara Mesir, sebelum penggunaan perkataan "Professor" atau "Professor Madya" perkataan yang digunakan malah tetap menjadi panggilan biasa kepada para pensyarah juga adalah "al-Ustaz". Al-Ustaz Duktur bagi Professor manakala أستاذ مشارك bagi Professor Madya. أستاذ مساعد pula bagi Penolong Professor (Assistant Professor).

5. Tak salah penggunaan perkataan "ustaz" oleh masyarakat kita pada adat di sini, yang salahnya ialah seseorang yang dipanggil "ustaz" namun tidak berusaha menampilkan diri dengan pakej akhlak dan syaksiah yang baik sekalipun mahir berbicara dalam aspek pengajian agama.

6. Yang salah juga ialah apabila seseorang yang cuba mengambil kesempatan atas penghormatan menerusi panggilan "ustaz" demi kepuasan nafsu dan kepentingan duniawi. Maka tiada nilainya lagi panggilan "ustaz" tersebut pada dirinya.

7. Malah kadang kala keterlanjuran seseorang yang dipanggil "ustaz" apabila cuba berlagak pandai serba tahu yang akhirnya melampaui sempadan displin ilmu yang bukan kepakarannya juga mencalarkan imej ustaz selama ini bagi dirinya.

8. Bagi masyarakat dan adat di sini, panggilan "ustaz" adalah cara mereka berbudi dan berbahasa dalam memberikan penghormatan atas kacamata zahir mereka terhadap seseorang yang dipanggilnya itu.

9. Bagi mereka yang mempelajari ilmu agama dan mendalami displin pengajian ilmu Islam, mereka sedar betapa besarnya memikul amanah panggilan "ustaz" pada mereka. Ia tidak melibatkan kerjaya tetapi melibatkan pertimbangan seseorang terhadap agama dan akhirat.

10. Teringat sewaktu belajar di negara Mesir, bertanya kepada beberapa sahabat warganegara Mesir, mengapa mereka tidak memakai kopiah Azhar, mereka jawab : Kami tidak layak. Dan begitu juga boleh lihat para syeikh antaranya juga mantan Mufti Mesir dan Syeikhul Azhar sekarang ini, sebelum mereka menjawat posisi penting itu mereka juga tidak berkopiah dan berpakaian kot (sesuai dengan uruf di Mesir). Ini kerana sesuatu yang dinisbahkan kepada agama atau menjadi syiarnya adalah suatu tanggungjawab bukan suka-suka.

11. Kekalkan cara masyarakat memanggil "ustaz" berdasarkan adat sini kerana ia suatu penghormatan masyarakat pada golongan yang terkait dengan agama. Namun bertakwalah kepada mereka yang memanipulasi title "ustaz" kerana nafsu dan habuan dunia!

12. Bagi seorang ustaz, jika masyarakat tidak memanggilnya dengan panggilan "ustaz", tidak perlu rasa berkecil hati, kerana ia bukan pangkat yang dikejarkan. Malah yang memuliakan manusia bukanlah manusia tetapi Allah.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments