PENYAKIT SUKA CERITA BENDA PELIK

 


PENYAKIT SUKA CERITA BENDA PELIK


1. Antara penyakit orang yang suka bercerita hal-hal agama Islam, segelintir mereka suka bercerita perkara yang pelik-pelik. Selagimana tidak ada cerita pelik, mereka tidak rasa "feel" dalam kehidupan beragama.


2. Saya pernah ada dalam satu group whatsapp, seorang pengajar kuliah tanya dalam group minta kongsikan cerita-cerita lawak untuk dijadikan modal dalam kuliah maghrib yang akan disampaikannya malam tersebut. Persiapan kuliah bukan mentelaah kitab tetapi mengumpul bahan jenaka sebagai modal cerita.


3. Kenapa cerita pelik ni diterima sahaja tanpa ditapis oleh sebahagian pendengarnya? Ini kerana pencerita pelik tersebut dia akan kuatkan penceritaannya dengan beberapa kenyataan, antaranya :


i. Kita ni orang awam, benda pelik ni tahap maqam tinggi. Kita awam tidak tahu.
ii. Allah Maha Berkuasa, kalau setakat pelik macam ni tak mustahil atas kuasa Allah berlaku.


4. Sejauh mana penceritaan pelik sebegini membantu masyarakat memahami agama? Lagi teruk bila melahirkan pendengar taksub lagi bodoh. Ilmu entah ke mana, namun lebih kepada mempertahankan pencerita pelik tanpa usul periksa.


5. Jarang pula dengar cerita mengenai sirah Baginda SAW dalam perjuangan sehingga Baginda SAW berdarah. Sahabat ada yang syahid. Imam terdahulu diseksa mempertahankan kebenaran, ada yang diusir keluar negara kerana tidak mahu bersekongkol dengan kejahatan. Cerita ini lenyap, kerana apa? Tak best, tak pelik. Nak cerita pelik, kalau cerita pelik barulah best. Nanti barulah feel "beragama lebih" dari orang lain.


6. Saya pernah ada berborak dengan sahabat, dia mempunyai seorang kawan yang kalau bercakap, kita pun tak faham kerana makrifatnya tinggi. Fuh.. Tanda makrifat tinggi ialah apabila bercakap orang tak faham. Adakah benar definisi dan justifasi kepada makrifat sedemikian?


7. Lebih malang, apabila kelihatan seseorang yang kusut masai, pakai selipar sebelah kanan kuning, sebelah kiri biru, badan berbau tengik, terus dianggap seseorang yang "mungkin" wali. Di mana pengajaran sudut kebersihan, kekemasan dan hadith bahawa Allah sukakan kecantikan? Definisi mana yang dipakai? Oh ye, ni tahap awam tahap maqam tinggi berbeza. Itu sahaja penguat hujahnya.


8. Nak bercerita buatlah semakan dahulu. Ambil kira banyak faktor. Jangan rosakkan agama dengan cerita pelik kita. Asal dengar pelik, rasa teruja terus cerita. Bukankah hadith Rasulullah mengingatkan bahawa :


Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW:


كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya:
Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya - Riwayat Muslim


9. Henti-hentikanlah suka cerita pelik yang dinisbahkan kepada agama. Perkara ghaibiyyat bukan menjadi lesen kita nak cerita apa sahaja kepelikan. Ghaibiyat benda melibatkan keimanan. Adapun cerita pelik-pelik, hanya membawa kerosakan beragama kepada diri dan masyarakat.


10. Ok, ini tulisan orang awam. Tidak pelik.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments