Orang Awam Meminta Dalil


 

Orang Awam Meminta Dalil


1. Saya lebih suka majlis ilmu orang awam, selain masyarakat beramal mereka tahu asas dan sumber amalan tersebut. Tak salah pun nyatakan dalil yang bersifat tafsili. Masyarakat perlu tahu. Selain beramal mereka lebih yakin.

2. Adapun dalil bersifat ijmali yang dibahaskan secara metodologi maka itu kembali kepada pakar bidang tersebut.

3. Di hadapan kita, bukannya mereka yang berumur 5 - 7 tahun. Itu tahap hafalan menerima apa sahaja. Hadapan kita mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran masing-masing. Mereka tahap intelek. Cuma mereka bidang berbeza. Terutama di kawasan bandar, yang hadir dengar kuliah atau ceramah kita ada yang kalangan mereka yang sudah lebih 15 tahun konsisten menghadiri kuliah agama, bukan baru datang semalam. Sudah pasti ada maklumat asas mereka faham berasaskan pengajaran kuliah penceramah sebelum ini. Mereka bukan datang dengan "kosong".

4. Majlis ilmu perlu dibangunkan bagi meningkatkan minda masyarakat awam. Maka dalil asas fungsinya ialah menerangkan dengan jelas dan meneguhkan keyakinan. Hanya penceramah perlu bijaksana dalam memberikan dalil dengan pendekatan yang sesuai dengan tahap kefahaman masyarakat mendengar. Dalil naqli atau aqli, atau menerusi hasil penghujahan, maka penceramah sesuaikan dan memudahkan.

5. Saya paling tidak setuju, berdasarkan pengalaman, ada ahli group whatsapp bertanya : "ada tak cerita² kelakar, kongsi sikit, nanti nak selit dalam kuliah". Akhirnya penceramah buat persiapan mencari cerita kelakar, bukannya ulangkaji menerusi penelitian muka surat kitab yang ingin dibacakan.

6. Tu belum lagi cerita, 1 muka surat syarahan yang terlalu longgar sehingga kuliah tidak lagi menjadi mengajar tetapi menjadi tempat bersembang. Jangan pula berlapikkan "ilmu itu luas" sedangkan pengajar yang tidak fokus dalam syarahan. Ada beza antara membahaskan keluasan ilmu dengan "celoteh yang tidak berfokus". Akhirnya majlis ilmu tidak menjadi status perkongsian ilmu tetapi menjadi medan penceritaan penglipur lara.

7. Yang lebih teruk, jika ada di minda kita yang berceramah apabila menganggap istilah "orang awam" ini ialah kita menganggap mereka orang "bodoh", yang pandai hanya kita sahaja. Nauzubillahi min zalik.

8. Maka penceramah perlu bijak dalam penyampaian. Penerangan berdalil bersesuaian dengan tahap majlis, bukan menutupi dengan alasan yang tidak membina minda intelek mesyarakat.

9. Berat atau tidak menerangkan adalah kebijaksaan dalam pendekatan penyampaian. Dalil boleh diterangkan secara ringkas, ringan dan beranalogi serta penghujahan logik yang bersesuaian kefahaman. Tidaklah rigid, terutama dalam majlis ilmu orang awam yang bersifat majlis umum.

10. Satu lagi perlu faham, kalau cerita kita tidak pelik, orang yang rajin hadir kuliah tak tanya dalil. Yang menjadikan mereka meminta dalil ni adalah kerana cerita pelik bin ajaib yang dibentangkan. Itu sahaja.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments