Memahami al-Quran dan al-Hadith Mesti Rujuk Perbahasan Para Ulama

 



Memahami al-Quran dan al-Hadith Mesti Rujuk Perbahasan Para Ulama


1. Memahami al-Quran dan al-Hadith bukan sekadar terjemahan bahasa ke bahasa. Sekalipun kedua-dua dalam bahasa Arab namun bukan semudah melihat kamus terjemahan tanpa memahami maksud dari konteks syarak menerusi perbahasan para alim ulama.

2. Berapa banyak kumpulan yang menyimpang dalam hendak memahami al-Quran dan al-Hadith sekalipun memetik ayat al-Quran. Sebagai contoh :

i. Jabariyah
ii. Qadariyah
iii. Murjiah
iv. Khawarij

Kesemua mereka memetik ayat al-Quran tapi maksud yang menyeleweng. Ayat benar namun penyalahgunaannya pada maksud yang menyeleweng.

3. Malah lihat sahaja di zaman Sayiduna Abu Bakr as-Siddiq menjadi khalifah, wujud kelompok tidak mahu bayar zakat. Bukan kerana menafikan zakat dari rukun Islam tetapi kerana memahami ayat 103 dalam al-Taubah secara menyeleweng. Mereka dakwa ayat tu adalah pengkhususan kutipan zakat hanya Rasulullah SAW yang berhak tidak selain Baginda SAW. Maka selepas kewafatan Baginda SAW tidak ada orang lain boleh kutip zakat.

4. Hadith berkenaan dengan berpegang dengan al-Quran dan al-Hadith ialah dengan memahami kehendak keduanya dengan tepat. Bagi mencapai maksud tersebut, maka para ulama diiktiraf oleh Baginda SAW sebagai pewaris dalam hadith yang lain.

5. Begitu juga dalam ayat 59 dalam Surah an-Nisa' mengenai perintah kembali dan rujuk kepada kitabullah dan sunnah ialah dengan merujuk kepada para alim ulama. Sebab itu ulul amri dalam ayat tersebut ada yang ditafsiran sebagai para ulama kerana mereka yang membimbing dan memahamkan ummah bagaimana merujuk al-Quran dan al-Hadith.

6. Kategori orang awam ialah mereka yang bukan ahli atau memiliki ilmu dalam memahami al-Quran dan al-Hadith. Orang awam terkeluar dari penuntut ilmu. Penuntut ilmu mempelajari secara khusus bidang dalam memahami al-Quran dan al-Hadith berdasarkan huraian dan perbahasan para ulama secara berdisplin.

7. Peringatan bahawa jika kembali ke al-Quran dan al-Hadith tanpa merujuk perbahasan para ulama boleh jadi tersesat. Ia adalah penegasan bahawa :

i. Perlunya kefahaman yang sahih dalam kembali kepada al-Quran dan al-Hadith.
ii. al-Quran dan al-Hadith adalah sumber Islam manakala para ulama adalah pewaris bagi anbiya' dalam memahamkan ummah terhadap sumber yang diwariskan.
iii. al-Quran dan al-Hadith difahami dengan displin bukan dengan sekadar terjemahan bahasa atau semberono. Dalil jelas namun masalahnya kefahaman bagi dalil tersebut, inilah yang perlu merujuk kepada para ulama.

8. Peringkat dalam beramal ni asasnya sama ada taqlid, ittiba' dan mujtahid. Orang awam biasanya dikategorikan pada peringkat taqlid. Sebab itu mufti atau qadhi adalah menjadi mazhab bagi orang awam terhadap apa yang diputuskan secara dasarnya. Mengetahui dalil yang sudah diperincikan oleh mufti dan para ulama adalah untuk meneguhkan lagi keyakinan namun bukan untuk dianalisis dan dipertikaikan. Bagi penuntut ilmu pula mereka adalah ittiba kerana sekalipun tahu penghujahan dalil namun pengetahuan mereka berasaskan pembelajaran dari para guru dan pengkajian kitab-kitab perbahasan.

9. Kena ingat, dari sudut ideologi Barat yang muncul menyerang dunia Islam, mereka tidak hapuskan agama dan sumbernya kerana mereka tahu menghapuskan agama dan sumber, adalah mustahil pada perkiraan mereka serta dari fakta sejarah dunia. Jadi apa yang mereka buat? Jauhkan ummah dari kalangan para ulama dan sarjana yang merupakan ahlu zikri atau pihak autoriti dalam memahamkan ummah akan al-Quran dan al-Hadith sebagai sumber agama.

10. Bukan menafikan perintah kembali kepada al-Quran dan al-Hadith tetapi menjelaskan maksud bagi perintah kembali kepada al-Quran dan al-Hadith. Serta menjelaskan justifikasi orang awam itu sendiri dalam kelayakan mereka secara langsung untuk memahami al-Quran dan al-Hadith.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments