Ibu Bapa Yang Hantar Anak Ke Tahfiz, Jangan Seksa Mereka

 



Ibu Bapa Yang Hantar Anak Ke Tahfiz, Jangan Seksa Mereka


Kali ni nak berkongsi sedikit berkenaan penghantaran anak-anak ke sekolah Tahfiz. Tak kisah jenis sekolah tahfiz moden, aliran pondok dan sebagainya.

Permintaan anak-anak ke sekolah Tahfiz zaman sekarang semakin mendapat perhatian. Malah di peringkat kerajaan negeri atau Persekutuan dapat dilihat kepesatan pertumbuhan sekolah tahfiz.

Berbeza zaman sebelum 90-an, yang dilihat sepi malah ada yang menganggap ia pilihan terakhir bahkan juga sebagai "pusat pemulihan akhlak" bagi segelintir ibu bapa selepas tidak tahu nak buat apa lagi terhadap anaknya tersebut. Walaupun mentaliti sebegini masih ada, namun rata-rata ibu bapa yang memilih tahfiz kerana ia sebagai bonus pakej kecemerlangan akademik yang diidamkan kerana melihat tahfiz itu sendiri satu kelebihan.

Niat menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz adalah baik namun jangan diseksa anak tersebut. Ya, hanya anak yang dihantar ke sekolah tahfiz tersebut yang perlu "baca al-Quran", jadi "baik" sedangkan diri ibu bapa dan adik beradiknya yang lain, tidak bersekolah tahfiz, kurang ditekankan bacaan al Quran malah syakhsiahnya.

Ibu bapa perlulah bermula dengan diri sendiri dan didikan ke anak-anak yang lain juga mestilah ditekankan membaca al-Quran sekalipun tidak hantar ke Tahfiz. Apabila suasana di rumah tiada suasana membaca al-Quran, inilah penyebab antara bila pelajar tahfiz balik cuti ke rumah bagi tempoh tertentu, mereka akan "lupa" kerana tiada suasana mengaji di rumah.

Ibu bapa pula jangan ada yang bebankan anaknya yang dihantar ke Tahfiz untuk jadi baik dan memiliki akhlak terpuji, namun adik beradik lain yang tidak ke tahfiz dibiarkan tanpa dipantau, dengan anggapan "tidak mengapa, mereka bukan Tahfiz". Akhirnya apa tujuan anak yang dihantar ke Tahfiz? Adakah untuk dipikulkan bebanan seorangan? Adakah pemahaman selain Tahfiz, tidak perlu jadi "baik" dan milik akhlak terpuji?

Ibu bapa perlu tahu purata membaca atau mengulang 1 juz dalam biasa ialah 40 minit - 60 minit? (yang lancar dan laju mungkin lebih pendek) jadi anak yang tahfiz perlukan 3 jam (maksimum tempoh) dalam sehari untuk fokus ulangan bagi 3 juzuk. Perlu diraikan keadaan mereka.

Kalau 3 jam mereka mengulang, tapi adik beradik yang lain "boleh bermain, berhibur" maka ia akan mengganggu fokus malah boleh beri pengaruh yang akhirnya terasa bebanan dan terus ditinggalkan. Jadi jika anak Tahfiz ada KPI khusus iaitu mengulang, maka begitu juga ditekankan kepada adik beradik lain yang bukan Tahfiz untuk ada waktu mengaji al-Quran agar wujud suasana pembelajaran bersama.

Jadi bagi ibu bapa yang mahukan anaknya Tahfiz perlulah faham :

i. Sekolah Tahfiz bukan pilihan terakhir, tetapi ia juga salah satu pilihan persekolahan seperti sekolah lain dengan aliran pembelajaran khusus Tahfiz.

ii. Jangan jadikan sekolah tahfiz sebagai "pusat pemulihan akhlak" dan berlepas diri dari anaknya yang sudah tidak boleh dikawal.

iii. Jangan seksa anak Tahfiz dengan itu dan ini, tetapi adik beradik yang lain yang bukan aliran tahfiz "bebas buat apa sahaja".

iv. Jangan bebankan membaca al-Quran di dalam rumah dengan tempoh tertentu ke atas anak Tahfiz sahaja, sedangkan adik beradik lain tidak pula disuruhnya mengaji, malah ibu bapa juga mesti mengaji al-Quran di rumah.

Semoga niat menghantar anak ke Tahfiz bukan sekadar trending untuk title anaknya ada "al-Hafiz" atau untuk dijadikan bahan borak "anak aku belajar Tahfiz" tetapi ia sebagai tanggungjawab bersama dalam mewujudkan minima 1 rumah 1 tahfiz dengan kebersamaan bersama semua ahli keluarga walaupun yang lain tidak secara khusus menghafaz keseluruhan.

Jom menghafaz, tak mampu 30 juz, surah lazim dan surah-surah lain yang biasa diamalkan pun kita usahakan seperti Yaasin, as-Sajdah, al-Insan, al-Mulk, al-Kahfi dan sebagainya.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments