Musim Jemputan Rumah Terbuka Dan Jamuan Makan

 



Musim Jemputan Rumah Terbuka Dan Jamuan Makan


1. Di Malaysia, suasana Hari Raya Aidil Fitri disambut dengan meriah selama sebulan bahkan lebih. Bermakna dalam tempoh ini amalan yang menjadi tradisi sempena Hari Raya Aidil Fitri ialah :

i. Ziarah menziarahi.
ii. Jamuan makan.
iii. Anjuran rumah terbuka.
iv. Saling bermaaf-maafan.

2. Asasnya, amalan tradisi yang dilakukan sempena sepanjang Hari Raya Aidil Fitri adalah berasaskan galakan secara umum yang dirangkumkan di sepanjang sambutan Hari Aidil Fitri. Ia adalah baik dan jelas berasaskan dalil yang umum membenarkan.

3. Ia bukanlah bidaah malah istilah "Raya Sebulan" adalah pada lafaz yang merujuk kepada sambutan tersebut bukan menambah-nambah bilangan Hari Raya yang ditetapkan pada 1 Syawal.

4. Di sinilah, perlu memahami hukum menerima atau menghadiri jemputan yang diterima. Secara asasnya :

i. Jika jemputan itu ialah majlis perkahwinan maka hukum asalnya ialah wajib hadir mereka yang menerima jemputan secara khusus. Melainkan ada keuzuran syar'i atau terdapat faktor jelas penganjuran tersebut ada kemungkaran maka, tidak wajib hadir.
ii. Adapun jemputan selain dari majlis perkahwinan maka, ulama berbeza pandangan iaitu :

a. Majoriti ulama termasuklah juga pandangan ulama mazhab Syafi'i menyatakan adalah harus dan digalakkan.
b. Segelintir ulama termasuk satu pandangan dari mazhab Syafi'i yang menyatakan wajib sama sebagaimana majlis perkahwinan kerana mengambil umum hadith dalam memenuhi jemputan iaitu :

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ

Maksudnya :
Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah menjawab salam, menziarahi pesakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan, dan mendoakan orang yang bersin - riwayat al-Bukhari dan Muslim

5. Bagi yang menganjurkan jamuan makan raya dan menjemput orang ramai ke majlisnya, perlulah memastikan :

i. Tiada unsur maksiat dan mungkar.
ii. Makanan yang halal lagi baik.

6. Bagi yang menerima jemputan, jika menghadirinya pastikan pula adab :

i. Hadir dengan pakaian yang menutupi aurat, sopan dan bersesuaian.
ii. Tidak mencemuh makanan dan penganjuran majlis.
iii. Doakan kebaikan dan limpahan barakag ke atas penganjur majlis.
iv. Jika membawa anak kecil, pastikan dapat mengawal agar tidak merosakkan barang dan suasana majlis.

7. Bagi yang tidak dapat hadir, boleh ambil langkah alternatif :

i. Maklumkan ketidak hadiran, terutama jika majlis yang memerlukan bilangan kehadiran bagi anggaran penyediaan makanan yang fixed.
ii. Tidak perlu memberikan harapan yang palsu, apatah lagi jika memang tidak merancang pergi elakkan guna perkataan "insha Allah" kerana tidak menepato maksudnya.
iii. Boleh menziarah sebelum atau selepas majlis jika diizinkan oleh penganjur.

8. Justeru, rancang jadual menghadiri jamuan agar tidak menjadikan alasan "tiada waktu untuk berpuasa 6 Syawal". Rancang dengan baik bagi dapat memperolehi ibadah puasa 6 Syawal serta meraikan jemputan majlis makan sempena Hari Aidil Raya Aidil Fitri.

9. Bezakan jemputan yang wajib dan harus agar peluang puasa 6 Syawal tidak disia-siakan. Awlawiyat ialah pada pengurusan yang betul dalam menyusun waktu. Bukan sekadar pilih satu dan tinggalkan yang satu lagi.

10. Jangan lupa jaga kesihatan juga musim jamuan makan dan rumah terbuka ini. Dan juga kawal penyediaan makanan agar tidak pula jadi membazir.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments