Gabung Niat Antara Puasa 6 Syawal Dan Qadha'


 

Gabung Niat Antara Puasa 6 Syawal Dan Qadha'


1. Antara lagi perbincangan mengenai puasa 6 Syawal ialah gabung niat puasa sunat bersama dengan niat qadha. Ini kerana ibadah adalah berdasarkan niat.

2. Terdapat 3 pandangan para ulama dalam hal ini : i. Jika gabung niat puasa 6 Syawal dan niat puasa qadha, maka yang sah niat hanya salah satu puasa sahaja. Pandangan Mazhab Hanafi. Mereka berbeza pandangan pula niat mana yang sah. Abu Yusuf menyatakan yang sah ialah niat qadha kerana ia fardhu, berbeza dengan Muhammad yang menyatakan sah puasa sunat 6 Syawal. ii. Sah gabung niat antara niat puasa sunat dengan puasa wajib termasuk puasa ganti dan nazar. Pandangan Mazhab Maliki, kebanyakkan ulama Mazhab Syafi'i dan pandangan muktamad Mazhab Hanbali. iii. Tidak sah kedua-dua niat jika gabung. Pandangan sebahagian mazhab Syafi'i dan satu riwayat dari Mazhab Hanbali. 3. Secara asas, tiada masalah dengan pengamalan ibadah gabung niat antara puasa 6 Syawal dan puasa ganti. Malah jika berniat qadha sekalipun ada pandangan yang menyatakan memadai dan memperolehi pahala puasa 6 Syawal. Afdhalnya dinyatakan sekali niat puasa 6 Syawal jika digabungkan. 4. Adapun jika tidak gabung niat, pun tiada masalah. Dalam hal ini ada dua keadaan : i. Puasa qadha dahulu kerana mendahulukan yang wajib. Kemudian baru puasa sunat 6 Syawal. ii. Puasa sunat 6 Syawal terlebih dahulu kerana masanya terhad iaitu hanya dalam Syawal sahaja sedangkan puasa qadha lebih lama iaitu sebelum Ramadan tahun akan datang.
5. Boleh rujuk kembali status posting "Puasa 6 Syawal" sebelum ini di link : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=853106765632419&id=100027993116986
. Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments