PRN Johor : Apa Untuk Anak Muda?
Anak muda kalangan 18 - 23 tahun adalah kalangan anak muda yang baru lepas SPM dan bergelut di dunia Pengajian Tinggi. Sama ada mereka telah matang dengan "seni pencak silat politik Tanah Air" atau tidak itu bergantung kepada sejauh mana pembacaan mereka, kecaknaan isu-isu politik nasional serta suasana keluarga mereka dalam membudayakan perkongsian cerita isu semasa negara.
Anak muda masa kini "lebih advance" kerana dunia tanpa sempadan. Mereka lebih terbuka dengan pendedahan-pendedahan cuma sama ada ditapis atau tidak. Dan dalam masa sama pendedahan dunia luar tanpa didorong kepada input manfaat menjadikan mereka bergelumang dengan obsesi dunia hiburan dan gaya hidup yang bercampur tanpa ada lagi panduan agama mahupun benteng adat kesopanan seperti terpengaruh budaya kuning artis-artis luar negara.
Mereka kelompok ini terutama yang berumur 18 - 21 tahun pastinya pertama kali mengundi. Apa pemikiran mereka? Apa yang mereka hendakkan dari pemerintah yang bakal mereka pilih dan memimpin mereka? Kesemua ini tidak hanya sekadar dalam "perlawangan pembentangan manifesto". Yang lebih utama ialah usaha berterusan agar nasib hidup mereka terpimpin dan dalam keadaan baik sama ada dari sudut pembangunan syakhsiah dan kelangsungan kehidupan di zaman ekonomi yang lembab lagi mencabar.
PENDIDIKAN UNTUK ANAK MUDA
Saya kira isu pendidikan amat penting di masa kini kerana stigma "tidak perlu belajar, yang penting dapat jana duit" bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ini kerana bebanan lepas graduasi dengan hutang pendidikan dan cabaran peluang pekerjaan adalah satu perkara yang perlu diperhalusi di peringkat Persekutuan dan Negeri berdasarkan bidang kuasa dan jaminan yang boleh diberikan.
Sehubungan itu, pentingnya manifesto dari sudut pendidikan yang asasnya :
1. Pembiayaan dan bantuan pendidikan di samping pemerkasaan pemberian zakat.
2. Dana permulaan memulakan kehidupan selepas graduasi di samping kerancakan membuka peluang pekerjaan.
3. Memberdayakan lagi ekonomi gig yang lebih dekat dengan anak muda masa kini.
ANAK MUDA MAHU DIPOSISIKAN BUKAN SEKADAR SUARA DIDENGARI
Selain itu, anak muda juga menunjukkan mereka mahukan "suara" mereka bukan sekadar didengari tetapi mereka terus "diposisikan". Sama ada kita mahu mengatakan mereka kurang matang dan berpengalaman, mereka tidak peduli, ini kerana tanpa diposisikan mereka merasakan mereka hanya sekadar "alat" kepada generasi lama yang lanjut. Populasi Malaysia saban tahun yang meningkat menjadikan ruang mereka diposisikan dilihat sempit.
Sebab itu, pernah idea melanjutkan usia persaraan wajib sehingga 65 tahun tidak diterima. Jika diterima, bila anak muda mahu diposisikan?
Di sini, wujud lagi stigma bahawa "undi mahu dari anak muda, namun pangkat kuasa hanya kepada mereka yang tua".
Jiwa orang muda dengan semangat berkobar dan idealisme yang tinggi, kita boleh lihat bagaimana penguasaan mereka kepada dunia moden hari ini :
1. Di media sosial.
2. Kepakaran dalam digital dan teknologi.
3. Idea-idea innovasi dalam "merubah" kemajuan keselesaan.
Di sini, parti yang bertanding perlu memikirkan tawaran menarik bagaimana menyerap "kelompok" anak muda ini di samping pakej tarbiyah, syaksiah dan pengalaman agar berjalan sekaligus.
Saya kira jika ada "ruang jaminan posisi anak muda" pada kehendak mereka dan yang bersesuaian dengan mereka, di sini kelompok anak muda bermula 18 -35 tahun akan lebih merasai kewujudan mereka dihargai.
Jika tidak, anak muda hanya akan merasainya hanya undi mereka sahaja diperlukan tetapi bukan diri dan khidmat mereka secara serius. Ditambah lagi, negeri Johor adalah berjiran dengan Singapura, sebuah negara moden sekalipun saiznya sangat jauh kecil. Biasanya anak muda yang terdedah dan berada di bandar-bandar akan membuat perbandingan.
Saya rasa ini sahaja untuk dicoretkan yang memang fokus anak muda kelompok yang umumnya bujang. Jika melibatkan harga barang naik, saya kira ia lebih fokus kepada peniaga dan pengguna dari kalangan bekeluarga khususnya.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment