ADAB DALAM BERKHILAF : URUS PERBEZAAN DENGAN HARMONI


 


ADAB DALAM BERKHILAF : URUS PERBEZAAN DENGAN HARMONI


Kesatuan Ummah Adalah Wajib

Di zaman media sosial pada hari ini, setiap perbezaan pandangan iaitu khilaf biasanya membawa kepada perkara yang keruh. Ditambah lagi, setiap pengikut ada yang terlebih semangat dalam mempertahankan individu atau kelompoknya sehingga hilangnya batasan dan adab dalam berbeza pandangan. Lebih teruk lagi, sifat ekstrim yang berani mengkafirkan pihak yang berbeza pandangan dengannya. Hal ini sudah membawa kepada bahana dan bahaya yang wajib dicegah dan diuruskan khilaf dengan tepat.

Khilaf tidak hanya berlaku dalam persoalan fiqh, namun ia turut terjadi kepada bidang-bidang yang lain seperti politik, pendidikan, pentadbiran dan sebagainya. Maka mana-mana yang berlaku khilaf, wajib diurus dengan baik mengikut lunas dan garis panduan yang ada bagi mengelakkan khilaf tersebut menjadi punca perbalahan, pergaduhan dan perkelahian yang akhirnya melemahkan umat Islam.

Firman Allah SWT :

وَاَطِيْعُوا اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ وَلَا تَنَازَعُوْا فَتَفْشَلُوْا وَتَذْهَبَ رِيْحُكُمْ وَاصْبِرُوْاۗ اِنَّ اللّٰهَ مَعَ الصّٰبِرِيْنَۚ

Maksudnya :
Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sungguh, Allah beserta orang-orang sabar. – Surah al-Anfal : 46

Ummah perlu hindari sebarang polemik kepada khilaf yang membawa kepada perpecahan ummah. Perpecahan ummah adalah haram, kesatuan ummah adalah wajib. Maka apabila khilaf menjadi wasilah kepada perpecahan ummah maka hukumnya adalah diharamkan sebagaimana kaedah fiqh menyatakan :

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya :
Wasilah-wasilah itu mengambil hukum-hakam maqasid.

Khilaf yang tercela ialah khilaf yang merosakkan Islam dan membawa kepada perpecahan ummah. Malah khilaf yang tercela akan terus berpolemik secara berpanjangan kerana tujuannya bukan untuk mencari kebenaran tetapi atas dasar ketidak puasan hati terhadap sesuatu. Maka larangan untuk berselisih pandangan apabila telah jelas sesuatu kebenaran dan keterangan yang nyata. Jika masih lagi berkhilaf maka ia sebagaimana kalangan ahli Kitab yang dicela oleh Allah akan sifat mereka sebagaimana firman-Nya yang berbunyi :

وَلَا تَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ تَفَرَّقُوْا وَاخْتَلَفُوْا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ

Maksudnya :
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat. – Surah Ali Imran : 104

Khilaf Sepatutnya Membawa Rahmat, Bukan Azab

Para ulama tidak menjadikan khilaf antara mereka sebagai satu permusuhan dan pergaduhan. Lihat sahaja bagaimana Imam al-Syafi’i yang merupakan anak murid kepada Imam Malik turut mempunyai pandangan serta mazhabnya yang tersendiri. Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal yang pernah berguru dengan Imam al-Syafi’i. Jika khilaf yang berlaku itu benar-benar dengan tujuan yang betul serta beradab maka ia hakikatnya membawa rahmat, bukannya azab iaitu perpecahan ummah.

Fahami dari kata-kata Umar bin Abd al-Aziz berkaitan khilaf yang berlaku dalam kalangan umat Islam:

مَا سَرَّنِي لَوْ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا ، لأَنَّهُمْ لَوْ لَمْ يَخْتَلِفُوا لَمْ تَكُنْ رُخْصَةٌ

Maksudnya:
Aku tidak gembira jika para sahabat Muhammad SAW tidak berselisih pendapat sesama mereka. Ini kerana, jika mereka tidak berselisih pendapat maka tidak akan berlakunya rukhsah. - [Lihat: al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 116/2]

Para ulama terdahulu menunjukkan sifat saling menghormati antara satu sama lain dalam situasi khilaf yang berlaku. Suasana harmoni sebegini yang diperlukan, bukannya khilaf yang terus menjadi ummah menjadi berpuak-puak yang berasingan dan saling bertembung antara satu sama lain. Malah para ulama menghormati sesuatu pandangan fiqh yang telah dipakai di suatu tempat tanpa membawa pandangan yang berbeza dengan pengamalan setempat bagi menjadi keharmonian yang sedia ada.

Hari ini cukup berbeza apabila khilaf yang berlaku dalam persoalan fiqh, seseorang membantah pengamalan sedia ada walhal tidak bermasalah sekalipun, dengan bantahan yang tidak beradab dan hanya membenarkan pandangan yang dipegang sahaja. Maka inilah punca perbalahan dari persoalan fiqh yang bersifat cabang namun kesannya membawa kepada impak negatif yang besar.

Menarik teladan yang ditunjukkan oleh Imam Hasan al-Banna, pengasas Ikhawnul Muslimin di Mesir dalam membawa idea penyatuan ummah yang ketika itu wujud sifat fanatik mazhab, lantas beliau meminta Syeikh Sayyid Sabiq menulis kitab Fiqh yang berjudul Fiqh al-Sunnah bagi tujuan membuka minda masyarakat yang fanatik mazhab bahawa khilaf ulama itu bukan tercela namun membawa kepada pencerahan minda dalam memahami bagaimana sesuatu hukum itu diistinbat dengan kaedah tertentu berdasarkan dalil tertentu.

Justeru, khilaf yang berlaku pada perkara yang dibenarkan oleh syarak ialah khilaf yang membawa rahmat. Maka ummah perlu saling bantu membantu dalam hal yang sepakat manakala dalam urusan yang khilaf maka hendaklah berlapang dada bagi tidak mengeruhkan keadaan sebagaimana saranan dari Syeikh Rashid Ridha iaitu :

نتعاون مع بعضنا في ما اتفقنا فيه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا عليه

Maksudnya:
Kami bertolong-tolongan dalam isu yang kami sepakat padanya dan kami saling berlapang dada pada perkara yang berselisih tentangnya.

Adab Berkhilaf Yang Dilupakan

Bagi memastikan ummah terus dalam kesatuan dan khilaf yang berlaku dalam keadaan harmoni maka setiap individu perlu memahami adab dalam berkhilaf. Ini penting kerana khilaf yang terjadi pada hari ini mengakibatkan suasana tidak harmoni ekoran adab dalam berkhilaf dilupakan. Manusia terus dipengaruhi dengan emosi yang akhir saling membalas dalam menyerang dengan tindakan dan perkataan yang tidak wajar.

Adab dalam berkhilaf yang perlu diperhatikan ialah :

1. Khilaf yang berlaku bukan pada perkara dasar, prinsip dan dalil qat’iy.
2. Ijtihad para ulama dalam perkara cabang dihormati pada pengamalan setempat dan ia tidak boleh dihukum sebagai bidaah dhalalah.
3. Mendahulukan maslahat umum dan prioriti tinggi berbanding kepentingan peribadi.
4. Menjaga niat mencari kebenaran bukan kemenangan dan sorak.
5. Perbincangan dalam perkara khilaf dengan bahasa yang sopan dan untuk menambah pengetahuan dalam memahami ilmu Allah yang luas.
6. Menghormati pandangan para ulama terdahulu sekalipun wujud ijtihad atau pandangan baharu yang lebih sesuai pengamalannya dengan isu semasa yang berubah-ubah.

Jika kita berjaya mengimplimentasi adab dalam berkhilaf ini nescaya suasana akan harmoni dan wujudnya pertukaran dan percambahan ilmu dalam perkara yang dikhilafkan tersebut. Ini kerana perkara khilaf adalah sebagai bukti bahawa Islam meraikan kepelbagaian fitrah yang sedia ada dalam diri dan kehidupan manusia. Kepelbagaian ini kembali kepada perkara asas iaitu saling berkenalan dan mengambil manfaat antara satu sama lain.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments