Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 25 - 27


 

Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 25 - 27


Firman Allah SWT :


وَلَبِثُوا۟ فِی كَهۡفِهِمۡ ثَلَـٰثَ مِا۟ئَةࣲ سِنِینَ وَٱزۡدَادُوا۟ تِسۡعࣰا ۝ قُلِ ٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ۖ لَهُۥ غَیۡبُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِۖ أَبۡصِرۡ بِهِۦ وَأَسۡمِعۡۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِیࣲّ وَلَا یُشۡرِكُ فِی حُكۡمِهِۦۤ أَحَدࣰا ۝ وَٱتۡلُ مَاۤ أُوحِیَ إِلَیۡكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلۡتَحَدࣰا


Maksudnya :
Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu). Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya. Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya. - [Surah Al-Kahfi 25 - 27]


🔰 Tadabbur :


📌 Akhir pengkisahan yang dirakamkan oleh Allah mengenai pemuda al-Kahfi ialah berkenaan tempoh tidur pemuda tersebut. Di mana ahli Kitab menyatakan 300 tahun manakala kiraan bagi umat Islam ialah 309 tahun sebagaimana yang disebutkan oleh Allah iaitu 300 tahun kiraan masihi dan ditambah 9 tahun jika kiraan dalam hijri.


📌 Perbezaan kiraan ini bukan sesuatu yang mustahak kerana yang lebih mustahak ialah intipati dan pengajaran kisah pemuda al-Kahfi untuk diteladani iaitu :


1. Sifat pemuda yang beriman kepada Allah.
2. Memiliki sifat ukhuwwah sesama mereka dalam mempertahankan aqidah.
3. Berlindung dari suasana rosak yang mensyirikkan Allah.


📌 Kiraan tahun boleh jadi berbeza disebabkan perbezaan penggunaan jadual atau kalendar. Justeru, dalam kisah sejarah, ia bukan sekadar untuk diceritakan tetapi lebih utama sejarah sebagai iktibar. Siapa yang tidak mengetahui sejarah tidak akan mencipta sejarah. Siapa yang tidak ketahui sejarah juga akan mengulangi kesilapan yang lalu.


📌 Apa-apa dapatan perbincangan keutamaannya ialah kita kembali kepada Allah menjadi hamba-Nya yang berkualiti. Begitulah jua dalam apa jua konteks perbincangan termasuk perbincangan moden yang melibatkan kecanggihan teknologi dan seumpamanya. Hebat sesuatu perbincangan sekalipun melahirkan rasa keajaiban, ia tidak akan bermakna melainkan kita kembali kepada Allah.


📌 Ini antara bentuk pendidikan dalam al-Quran iaitu menerusi kisah penceritaan. Naluri manusia kebanyakkannya suka mendengar cerita. Sebab itu, dalam al-Quran terdapat banyak kisah sebagai motivasi, pengajaran dan teladan sama ada kalangan nabi dan Rasul atau umat terdahulu.


📌 Dengan pengkisahan yang terakam dalam al-Quran yang melibatkan kisah lampau antaranya ialah menjadi salah satu bukti bahawa al-Quran bukan rekaan Rasulullah SAW tetapi wahyu serta kebenaran dari Allah. Sebab itu, pertanyaan dari ahli Kitab dan golongan lain kepada Baginda SAW mengenai sesuatu khususnya adalah untuk menguji kebenaran kerasulan Baginda SAW.


📌 Malam terdapat juga kisah alam yang menjadi bukti mukjizat al-Quran dan kebenaran wahyu dari Allah. Seperti ayat-ayat yang menceritakan gambaran suasana di lautan sedangkan Rasulullah SAW bukanlah seorang pelayar dan tidak pernah ke laut namun gambaran suasana sangat terperinci seperti orang yang pernah ke laut. Ayat sebegini menjadi penyebab seseorang masuk Islam bila tahu kebenaran dan tahu al-Quran bukan rekaan Baginda SAW sebagaimana seorang sarjana dari India memasuki Islam apabila menyelidiki ayat-ayat sebegini. Ini dikisahkan oleh Syeikh Dr Fathi Hijazi dalam salah satu kelas pengajiannya di Masjid al-Azhar.


📌 Justeru perintah baca al-Quran bukan sekadar naca tetapi mesti dituruti apa yang terkandung kerana pelaksanaan adalah tanda keyakinan terhadap ayat yang dibacakan.


📌 Zaman penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat, para sahabat sebaik sahaja turunnya wahyu ke atas Rasulullah SAW dan dibacakan kepada mereka, para sahabat akan hafaz, tulis, fahami dan terus melaksanakannya tanpa bertangguh.


📌 Ini menjadi panduan bahawa bukan perlu tunggu habis semua baru nak laksana. Tetapi konsisten laksana dengan setiap apa yang dibaca, dipelajari pada bila-bila masa. Inilah bukti keyakinan dan kefahaman yang sahih.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments