Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 9 - 12





Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 9 - 12

Firman Allah SWT :

أَمۡ حَسِبۡتَ أَنَّ أَصۡحَـٰبَ ٱلۡكَهۡفِ وَٱلرَّقِیمِ كَانُوا۟ مِنۡ ءَایَـٰتِنَا عَجَبًا ۝ إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡیَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةࣰ وَهَیِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدࣰا ۝ فَضَرَبۡنَا عَلَىٰۤ ءَاذَانِهِمۡ فِی ٱلۡكَهۡفِ سِنِینَ عَدَدࣰا ۝ ثُمَّ بَعَثۡنَـٰهُمۡ لِنَعۡلَمَ أَیُّ ٱلۡحِزۡبَیۡنِ أَحۡصَىٰ لِمَا لَبِثُوۤا۟ أَمَدࣰا

Maksudnya :
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). - [Surah Al-Kahfi 9 - 12]

🔰
Tadabbur :

📌
Kisah al-Kahfi yang menjadi fokus utama surah ini kerana surah ini dinamakan dengan al-Kahfi adalah berkaitan kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah dalam gua. Gua dalam bahasa arab adalah al-Kahfi.

📌
Terdapat beberapa pandangan mengenai bilangan pemuda beserta 1 ekor anjing yang menemani mereka berkawal di hadapan pintu gua. Ada yang berpandangan 7 orang, 8 orang atau pun 9 orang. Yang masyhurnya ialah 7 pemuda dan 1 ekor anjing berkawal.

📌
Disebutkan perkataan "ar-Raqim" beserta kisah al-Kahfi ini. Para sarjana berbeza pandangan apakah yang dimaksudkan dengan "ar-Raqim" tersebut kepada beberapa makna :

1. Nama kampung yang pemuda al-Kahfi keluar darinya menyelamatkan diri.
2. Nama bukit yang terdapat gua tersebut.
3. Nama lembah atau daerah gua tersebut.
4. Batu bersurat yang tercatat nama pemuda al-Kahfi yang ditampak di gua.
5. Serta ada yang berpandangan, ia nama anjing yang berkawal.

📌
Namun yang paling diterima makna ar-Raqim ialah batu bersurat tersebut kerana merujuk kepada perbahasan perkataan ar-Raqim dari sudut bahasa arab dan ada juga dijugakan pada ayat yang lain pada tatabahasa perkataan al-Marqum المرقوم .

📌
Ayat 9 merupakan permulaan kisah pemuda al-Kahfi sehingga ayat ke 27. Tarikan utama dalam kisah pemuda al-Kahfi ini ialah :

1. Situasi pelik iaitu tidur selama 309 tahun.
2. Melibatkan kalangan pemuda.
3. Berkenaan situasi menyelamatkan diri dari kezaliman pemerintah dan kerajaan zaman tersebut.

📌
Kisah pemuda al-Kahfi ini juga dibuat model oleh kalangan Yahudi dalam menguji kerasulan Nabi Muhammad SAW, bagi mereka jika Rasulullah SAW benar Rasul, maka Baginda SAW akan tahu kisah tersebut. Sebab itu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW adalah untuk menguji kerasulan. Namun lebih tepat pertanyaan mereka adalah untuk "menjatuhkan" Rasulullah SAW pada hakikatnya.

📌
Ini kerana hanya orang terdahulu dari kalangan keturunan Bani Israil sahaja yang tahu kisah ini secara asas dan orang Arab tidak tahu dan tidak akan tahu. Namun Rasulullah SAW dibantu dan dijaga oleh Allah dengan wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW.

📌
Dalam kisah pemuda al-Kahfi ini pengajaran besar dan penting ialah :

1. Selamatkan akidah.
2. Kuasa Allah yang mengatasi peraturan alam iaitu ditidurkan pemuda selama 309 tahun.
3. Sikap tercela Yahudi yang bertanya untuk untuk tahu tapi untuk provoke atau nak menjatuhkan.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments