Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 6




Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 6

Firman Allah SWT :

فَلَعَلَّكَ بَـٰخِعࣱ نَّفۡسَكَ عَلَىٰۤ ءَاثَـٰرِهِمۡ إِن لَّمۡ یُؤۡمِنُوا۟ بِهَـٰذَا ٱلۡحَدِیثِ أَسَفًا

Maksudnya :
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. - [Surah Al-Kahfi 6]

🔰
Tadabbur :

📌
Allah memberikan mententeramkan Rasulullah SAW akan sikap mereka kaum musyrikin dan orang kafir yang berpaling dari seruan yang disampaikan oleh Bagjnda SAW. Tugas dan kewajipan Rasulullah SAW adalah menyampaikan manakala soal mereka beriman atau berpaling itu sudah tidak menjadi tanggungjawab yang dibebankan ke atas Baginda SAW.

📌
Secara langsung Allah mengajar menerusi teladan Rasulullah SAW ini dan menjadikan juga teladan Rasulullah SAW sebagai orang yang memikul dakwah. Ini dapat diambil pengajaran bahawa :

1. Tugas pendakwah ialah kewajipan menyampaikan.
2. Orang menerima dakwah atau tidak itu soal mereka di hadapan Allah.
3. Sikap pendakwah tetap mengambil berat dalam urusan dakwah dan sentiasa memikirkan ummah.

📌
Manusia sering menjadikan alasan dalam menerima kebenaran dengan pelbagai alasan. Di zaman Rasulullah SAW masih hidup antara alasan yang digunakan untuk berpaling dari terima kebenaran ialah :

1. Rasulullah SAW kalangan manusia bukan malaikat.
2. Mengapa dipilih Muhammad SAW dari kabilah Abdul Muthallib sebagai Rasul tetapi kabilah lain tidak dipilih.
3. Ahli Kitab kalangan Yahudi dan Nasrani menolak kerana Rasulullah kalangan Arab bukan dari keturun mereka, Bani Israil.

📌
Dalam berdakwah, para pendakwah mestilah berusaha menyampaikan intipati kebenaran dengan jelas dan adapun strategi atau pendekatan secara hikmah. Pendakwah bukan menyeru kepada dirinya tetapi menyeru manusia kembali kepada Allah.

📌
Sebab itu, tidak perlu gundah gulana jika manusia menolak kerana bukan diri kita yang mahu diangkat tetapi mereka sendiri akan berhadapan dengan Allah kelak bagi menjawab mengapa mereka berpaling.

📌
Jika di zaman media sosial ini, tugas kita buat siaran /posting dakwah. Sama ada banyak yang suka atau tidak, itu bukan penentu. Inilah sikap pendakwah terus konsisten dan tidak melemahkan jiwa mereka dengan gambaran dunia dari sudut sorakan dan pengikut.

📌
Apatah lagi, jika dibenci maka jangan dikecilkan hati. Pendakwah terus berjiwa besar kerana pendakwah mengharapkan redha dan habuan dari Allah bukan dari manusia.

📌
Sebab itu, hati-hati jika seruan yang dinamakan dakwah namun niat dan matlamat menyimpang dari tujuan asal maka di sinilah akan berlaku kepincangan malah boleh terjadi kesesatan.

📌
Penyampaian dakwah mesti dari al-Quran dan berpandukan al-Quran. Dakwah santai atau tidak, tidak boleh lari dari al-Quran. Panduan, isi kandungan dan kefahaman mesti benar dari al-Quran.

📌
Kerosakan minda berlaku apabila mengajak atau dakwah dengan kandungan mistik seperti dakwaan mimpi sekian, sekian, yang jelas-jelas beecanggah dengan syariat. Maka rosaklah agama dengan penunggang agama sedemikian.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments