ISLAM DAN KEPIMPINAN

ISLAM DAN KEPIMPINAN




▪️
Kepimpinan Adalah Tanggungjawab Besar

Soal kepimpinan merupakan satu amanah yang sangat besar. Ia merupakan satu tanggungjawab besar kepada semua pihak Hal ini demikian Islam dibawa secara berjemaah bukan individu. Maka apabila secara berjemaah maka ia tidak dapat tidak mestilah melibatkan soal kepimpinan.

Bahkan Islam menerapkan nilai kepimpinan kepada semua peringkat bermula dengan peringkat yang paling rendah sehinggalah kepada peringkat yang palling besar iaitu pemerintahan negara. Bahkan setiap individu merupakan pemimpin iaitu orang yang dipertanggungjawabkan di atas tanggungannya.

Justeru, kepimpinan merupakan satu kewajipan ke atas semua umat Islam, Cuma yang berbeza adalah peringkat kepimpinan yang dipikul samada ketua keluarga, jawatankuasa kepimpinan pelajar, pengarah syarikat, pemimpin negara dan sebagainya. Apa yang pasti Islam mesti digerakkan secara terpimpin iaitu mesti ada orang yang memimpin serta orang yang dipimpin.

Sayiduna Umar Al-Khattab berkata :

لَا إِسْلَامَ الا بِجَمَاعَةٍ ولا جَمَاعَةَ الا بِإِمَارَةٍ ولا إِمَارَةَ إلا بِطَاعَةٍ

Maksudnya :
“Tidak dinamakan Islam melainkan secara berjemaah, tidak dinamakan secara berjemaah melainkan adanya kepimpinan, tidak dinamakan kepimpinan melainkan wujudnya taat dan patuh”

▪️
Dalil Kepimpinan Dalam Islam

Banyak dalil-dalil yang menunjukkan kepada kemestian wujudnya kepimpinan dalam Islam. Antaranya ialah :

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مسؤول عن رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ في أَهْلِهِ وهو مسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ في بَيْتِ زَوْجِهَا ومسؤولة عن رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ في مَالِ سَيِّدِهِ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ

Maksudnya :
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin. Pemimpin bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Lelaki (suami) bertanggungjawab ke atas ahlinya (keluarga). Wanita (isteri) bertanggungjawab ke atas rumah suaminya (menjaga harta benda dan situasi rumah). Khadam bertanggungjawab ke atas harta tuannya dan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Diriwayatkan bahawa Abu Dzar meminta kepada Rasulullah SAW untuk menjadi kepimpinan agar dapat menjalankan amanah serta gerak kerja Islam dengan lebih besar, lalu sabda Baginda SAW :

يا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يوم الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إلا من أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الذي عليه فيها

Maksudnya :
"Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau lemah (tidak berkemampuan) kerana kepimpinan itu merupakan suatu amanah,dan ia merupakan satu kehinaan dan penyesalan (di hari kiamat kelak), melainkan sesiapa yang menjalankan hak kepimpinan dan melaksanakan dengan baiknya iaitu memberikan hak kepada mereka yang layak." - riwayat Muslim

Bahkan diutuskan para rasul kepada manusia adalah sebagai pemimpin bagi menyeru mereka ke arah jalan yang benar dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah.

Firman Allah SWT :

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِی كُلِّ أُمَّةࣲ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَۖ

Maksudnya :
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang rasul bagi setiap umat (untuk menyeru) : “sembahlah Allah, dan jauhilah taghut” – Surah An-Nahl 36

Kepimpinan ini merupakan suatu kewajipan sehinggakan sekiranya ada 3 individu dalam satu tempat, maka mestilah dilantik seorang ketua di kalangan mereka.

Ini berdasarkan kepada hadith dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ في سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya :
"Sekiranya 3 individu keluar bersama-sama dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka melantik salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin." - riwayat Abu Daud

Sayiduna Umar Al-Khattab berkata :

لَا إِسْلَامَ الا بِجَمَاعَةٍ ولا جَمَاعَةَ الا بِإِمَارَةٍ ولا إِمَارَةَ إلا بِطَاعَةٍ

Maksudnya :
“Tidak dinamakan Islam melainkan secara berjemaah, tidak dinamakan secara berjemaah melainkan adanya kepimpinan, tidak dinamakan kepimpinan melainkan wujudnya taat dan patuh”

▪️
Kepimpinan Dalam Islam Bukan Untuk Dimegah-megah

Mesti difahami bahawa seseorang yang memegang jawatan atau pemimpin bukanlah semestinya seseorang yang hebat dalam segenap aspek untuk dimegahkan. Islam tidak pernah mengajar umatnya bahawa kepimpinan itu merupakan soal populariti atau kekuasaan untuk berasa megah kepada manusia serta bukannya berunsurkan material.

Bahkan sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Nabi SAW kepada Abu Zar, kepimpinan merupakan satu amanah yang berat. Kepimpinan hanyalah kuasa lantikan untuk seseorang memimpin dan menguruskan urusan manusia supaya kemaslahatan terjaga.

Diriwayatkan oleh Abu Mas'ud, Uqbah bin 'Amru bahawa seorang lelaki pergi menemui Nabi SAW dalam keadaan yang cemas dan gementar kerana berada di hadapan Nabi SAW, lalu baginda SAW bersabda :

هَوِّنْ عَلَيْكَ فَإِنِّي لَسْتُ بِمَلِكٍ إنما أنا بن امْرَأَةٍ تَأْكُلُ الْقَدِيدَ

Maksudnya :
"Tenangkanlah diri kamu! Sesungguhnya aku bukanlah seorang raja, aku hanya anak seorang wanita biasa yang memakan daging-daging kering." - riwayat Ibn Majah

Ketika Hurmuzan datang untuk menyerah diri kepada Saidina Umar Al-Khattab (di zaman pemerintahannya), maka dia melihat Saidina Umar Al-Khattab sedang tidur di masjid. Lalu ia bertanya : “Di mana para pengawal dan penjaganya”?. Orang yang berada di sekitar itu menjawab : “Ia (Umar) tidak memiliki penjaga mahupun pengawal”. Hurmuzan berkata lagi : “Kalau begitu ia mestilah seorang nabi”. Mereka menjawab : “ Bukan, tetapi beliau melakukan pekerjaan nabi.”

▪️
Banyakkan Bekerja Kurangkan Bercakap

Dalam Islam, soal bekerja adalah lebih utama berbanding banyak bercakap. Hal ini demikian kesan melakukan gerak kerja lebih besar berbanding hanya menuturkan kata-kata. Justeru pemimpin yang dilantik adalah berbeza dengan penyokong atau ahli. Maksudnya kondisi seorang penyokong banyak berbicara adalah perkara biasa, namun seorang pemimpin adalah berbeza, kerana mereka dilantik untuk melakukan gerak kerja.

Justeru, pemimpin mestilah menunjukkan segala bukti gerak kerja dan menjawab tomahan atau kritikan dengan hasil kerjanya bukan dengan bercakap, berstatus di dalam facebook atau blog. Disebabkan itulah pemimpin mesti lebih banyak menggunakan kaedah ‘lisanul hal’ (berkata dengan gerak kerja) daripada ‘lisanul maqal’ (berkata dengan kata-kata).

Sayiduna Uthman bin Affan ketika menyampaikan khutbah pertamanya selepas ia dilantik menjadi khalifah, katanya :

وَأَنْتُمْ إِلَى إِمَامٍ فَعَّالٍ أَحْوَجُ مِنْكُمْ إِلَى إِمَامٍ قَوَّالٍ

Maksudnya :
“Kamu lebih memerlukan pemimpin yang bekerja dari pemimpin yang hanya berkata-kata”.

▪️
Tidak Meminta-minta, Tidak Pula Menolak

Apabila disebut kepimpinan dalam Islam maka ia merupakan amanah yang sangat besar. Namun begitu, ia bukanlah menjadi alasan untuk kita menolak jawatan apabila diminta. Bahkan kita juga dilarang untuk meminta-minta jawatan kerana Islam tidak mengajar umatnya gila kuasa.

Mesti jelas bahawa Rasulullah SAW tidak mendidik para sahabat meminta-minta jawatan dan dalam masa yang sama para sahabat juga tidak diajar untuk menolak apabila mereka ditaklifan.

Justeru, kepimpinan dalam Islam mengajar bahawa jawatan bukanlah untuk diminta-minta, dan jawatan yang telah dipilih ke atas seseorang, bukanlah untuk ditolak dengan beribu-ribu alasan.

Abdul Rahman bin Sammurah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إن أُوتِيتَهَا عن مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا من غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عليها

Maksudnya :
“Janganlah kamu meminta-minta jawatan kepimpinan,sekiranya kamu memperolehinya dengan cara kamu meminta-minta, maka kamu akan dilepaskan berseorang tanpa sebarang pertolongan (daripada Allah), namun jika kami memperolehinya tanpa meminta-minta nescaya kamu akan dibantu (Allah akan menurunkan pertolongan).” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jelas mereka yang meminta-minta jawatan tidak akan diberikan pertolongan daripada Allah bahkan dibiarkan berseorangan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Juga mesti difahami sekiranya seseorang yang menolak jawatan yang diberikan ke atasnya dengan alasan yang tidak kukuh, maka sekiranya jawatan tadi diperolehi oleh mereka yang fasik atau melakukan maksiat, maka orang tadi (yang menolak) akan bersama-sama mendapat dosa ke atas maksiat yang dilakukan sepanjang dilantik menjadi pemimpin. Hal ini demikian kerana mereka yang menolak tadi telah membukan ruang untuk berlakunya kemungkaran.

▪️
Berkhidmat Bersama-sama, Bukannya “Big Boss”

Pemimpin mestilah pandai memimpin orang yang berada di bawahnya. Bahkan tidak salah ia mengeluarkan arahan atau perintah apatah lagi dalam waktu yang memerlukan arahan daripada seorang ketua.

Namun begitu, Islam tidak mengajar umatnya yang menjadi pimpinan bertindak memberikan arahan sahaja tanpa melibatkan diri bekerja bersama-sama dengan mereka yang berada di bawahnya. Disebabkan itu, mesti jelas bahawa pemimpin dalam Islam adalah mereka yang memikul amanah untuk menjaga maslahat orang yang berada di bawah pimpinannya, berbeza dengan konsep “Big Boss” yang hanya tahu memberikan arahan dan perintah semata-mata.

Ia boleh dilihat melalui teladan Rasulullah SAW yang turun bersama-sama dengan para sahabat dlaam melakukan gerak kerja Islam. Baginda SAW turut bersama-sama berperang, bahkan dalam peperangan Khandak baginda SAW bersama-sama menggali parit. Inilah contoh teladan kepimpinan dalam Islam.

Justeru, kepimpinan dalam Islam mementingkan contoh teladan seorang pemimpin kepada anak buahnya. Pemimpin mestilah menunjukkan kebersamaan dengan anak buahnya dalam gerak kerak yang dilakukan. Dan inilah yang disebut sebagai kepimpinan teladan.

من طلب الجهد الثقيل والعمل القاسي من أتباعه فليكن مثالا للعمل أولا

Maksudnya :
"Sesiapa yang menginginkan penat lelah dan kerja berat daripada para pengikutnya, maka ia harus menjadi contoh pertama dalam bekerja."

▪️
Bersistem Dan Berperancangan

Islam menitik beratkan soal sistemati dan berperancangan. Disebabkan itulah wujudnya kepimpinan agar dapat merealisasikan perkara ini. Hal ini demikian kepimpinan dalam Islam adalah mentadbir urusan manusia bagi menjaga kemaslahatan dan menolak sebarang mudharat.

Mereka yang dilantik sebagai pemimpin mestilah mengambil berat perkara sistematik dan berperancangan. Jangan sampai kepimpinan dalam Islam dilabelkan sebagai ‘persatuan kampung’ yang hanya duduk beramai-ramai kemudian berborak kemudian memutuskan sesuatu keputusan tanpa melibatkan perkara-perkara yang sepatutnya.

Hal ini dapat dilihat, mereka yang bersistematik akan menjadi maju dan terus ke hadapan berbanding mereka yang tidak bersistematik.

Justeru inilah yang diingatkan oleh Sayiduna Ali bin Abu Talib kepada semua pemimpin berdasarkan peraturan :

الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام

Maksudnya :
"Kebenaran tanpa ada peraturan (bersistematik) akan dikalahkan dengan kebatilan yang bersistematik."

Dan juga mesti difahami bahawa pemimpin yang gagal merancang dalam pemimpin yang sedang merancang ke arah kerosakan. Hal ini demikian pepatah menyebut :

“Orang yang gagal merancang adalah orang yang merancang ke arah kegagalan”

Justeru, sistematik dan berperancangan merupakan satu perkara yang mesti dilaksanakan oleh pemimpin bagi menjamin pentadbiran yang terbaik. Lihat bagaimana contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam setiap perkara. Baginda SAW merancang perjalanan ketika hijrah menunjukkan betapa pentingnya perancangan dalam sesuatu perkara untuk dijayakan. Baginda SAW mendirikan masjid sebaiknya sahaja sampai di Madinah sebagai pusat perkumpulan, menunjukkan betapa baginda SAW berperancangan dalam sesuatu perkara dan hasilnya sehingga ke hari ini masjid menjadi tempat yang paling penting dan strategik.

▪️
Doakan Yang Terbaik Kepada Pimpinan

Antara salah satu tanggungjawab dan peranan ahli terhadap pimpinan serta pemerintah yang terlantik adalah mendoakan kebaikan kepada mereka. Mendoakan agar Allah mengurniakan mereka petunjuk dan diberikan kekuatan untuk melaksakan keadilan. Ini kerana jika seorang pemimpin itu adil maka kebaikan dari akan dirasai oleh semua yang berada di bawahnya.

Tidak hairanlah pemimpin atau pemerintah yang adil disebut pada turutab yang pertama dari 7 kelompok yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه.

Maksudnya :
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah (3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” - riwayat al-Bukhari

Ini antara yang dijelaskan oleh Fudhail bin ‘Iyadh dengan katanya :

لو أن لي دعوة مستجابة ما صيرتها إلا في الإمام قيل له: وكيف ذلك يا أبا علي؟ قال: متى ما صيرتها في نفسي لم تجزني ومتى صيرتها في الإمام فصلاح الإمام صلاح العباد والبلاد

“Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, maka akan aku tujukan doa tersebut kepada pemimpin.” Lalu ditanya, “Mengapa?” Ia menjawab, “Jika aku tujukan doa tersebut pada diriku saja, maka ia hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara akan menjadi baik.”

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/39rpbTT

Comments